REKA bentuk kebanyakan rumah moden kini dibina secara tertutup. Keperluan bukaan tingkap dan lubang angin tidak diambil kira, sebaliknya penggunaan pendingin hawa lebih diambil kira. Kekerapan penggunaan alat berkenaan menyebabkan pergantungan terhadap pencahayaan, sekali gus meningkatkan bil elektrik, sumber tenaga dan seterusnya pemanasan global. Justeru, bagaimana boleh diklasifikasikan sebagai sebuah kediaman berupaya menyelamatkan bumi? Ia sepatutnya dibina daripada bahan binaan jimat tenaga selain menawarkan reka bentuk yang mengambil kira faktor menjimat tenaga terutama menonjolkan aliran udara dan pencahayaan semula jadi.
Ciri kediaman mesra alam
Rumah berciri mesra alam membenarkan pengaliran udara secukupnya untuk tujuan ventilasi. Hasilnya, udara sejuk dihasilkan sekali gus mengurangkan kesan kelembapan.
Masalah utama dihadapi penduduk di negara beriklim tropika adalah suhu yang tinggi, pancaran terik dan silau sinaran matahari di samping kadar kelembapan tinggi. Masalah ini semakin buruk ditambah suhu dikeluarkan oleh badan manusia itu sendiri.
Reka bentuk pengaliran udara
Pengaliran udara bermaksud penggantian udara dalaman yang panas dengan yang sejuk dari luar. Ada tiga cara pergerakan udara atau angin iaitu;
Pengaliran udara semula jadi
- berlaku tiupan angin
- perbezaan suhu
Pengaliran udara tidak semula jadi
- Peralatan elektrik seperti kipas angin dan penyaman udara
Selain itu, untuk memaksimumkan potensi angin bagi pengudaraan, aliran pengudaraan perlu berlaku dalam bangunan bagi memperoleh pengaliran yang baik, perlu;
Membina bukaan pada sisi bangunan
Binaan banyak bukaan terutama tingkap adalah cara terbaik mendapatkan pengaliran udara. Bukaan lebih daripada satu dengan posisi secara berdepan akan menghasilkan pengudaraan silang.
Bagi membolehkan lebih banyak angin memasuki ruang dalam rumah menerusi bahagian sisi, maka bina banyak bukaan di bahagian itu. Jika matahari terik sepanjang hari dan menyebabkan satu sisi rumah panas, maka bahagian buka tingkap atau pintu di sisi yang lain untuk membawa masuk udara segar.
Membina bukaan pada atas bangunan
Selain untuk pengudaraan, bukaan atas dinding juga berfungsi sebagai lubang cahaya. Bagi menghindari kemasukan haiwan dan serangga, maka tutup ia dengan kawat berjaring.
Angin adalah udara yang bergerak. Pergerakan udara berlaku daripada tempat bertekanan tinggi menuju tekanan rendah. Justeru, baik sekiranya reka letak bukaan dinding dan lubang angin diperhatikan fungsinya. Jika fungsinya untuk mengalirkan udara panas keluar, maka lubang angin patut ditempatkan di bahagian atas. Misalnya, menempatkan lubang udara dalam bilik air berguna bagi mengalirkan udara panas akibat penggunaan air mandian panas.
Bumbung kecil terangkat
Pengaliran udara juga boleh dilakukan menerusi binaan seperti bumbung kecil terangkat. Caranya, bina satu bumbung kecil di atas bumbung sedia ada. Binaan seumpamanya mengelakkan udara panas dalam rumah terperangkap, sebaliknya udara baru akan masuk melalui binaan tingkap sedia ada.
Pengaliran udara mekanikal
Pengaliran udara secara mekanikal dilakukan dengan memasang alat pengaliran udara turbin. Ia berfungsi dengan cara turbin berpusing ditiup angin, maka lalu menyedut udara panas dari dalam dan membuangnya keluar. Sekiranya tiada berlaku aliran atau tiupan angin, udara panas juga akan memusing turbin yang disebabkan oleh kesan tindihan udara.
No comments:
Post a Comment