Followers

Sunday, April 1, 2012

Risiko menahan rasa (pendam)

Risiko Memendam Rasa Adalah Gila (Mingguan Wanita, Motivasi 2012)


Dalam banyak aduan yang saya terima awal 2012, ada satu aduan datangnya daripada seorang wanita yang dihimpit serba salah kerana dikelentong oleh abang sendiri. Katanya, dia serba salah untuk bertindak memandangkan yang menipu adalah abang sendiri.

Kalau diberitahu kepada ibu tentu hidupnya akan lebih susah sebab ibu pasti akan memarahinya, tetapi kalau tidak diberitahu dia terpaksa menanggung beban berkenaan sendirian sepanjang usia.

Maka, sayalah yang ditujunya, menjadi galang ganti pada sang ibu yang sepatutnya mendengar segala keluhan. Tidak mengapa, asalkan sanggup sahaja menerima saranan-saranan saya nanti.

Yang saya kesal selalunya, apabila seseorang mendatangi saya menceritakan masalah-masalahnya, dia hanya sekadar mahu bercerita untuk melepaskan beban, kemudian apabila dinasihati asyik membantah.

Sesetengahnya belum sempat dinasihati sudah sebut, “Terima kasih Dr., kerana sudi mendengar,” kemudian matikan telefon.

Tahukah anda wanita Melayu adalah penghidap hipertensi (tekanan darah tinggi) paling ramai di Malaysia dan penyakit itu pembunuh senyap nombor satu negara serta menjadi penyebab utama penyakit kardiovaskular.

Wanita Melayu Perahsia

Kenapa wanita dan kenapa Melayu? Pada hemat saya, wanita Melayu lebih perahsia dan mereka juga lebih pendendam sifatnya. Bukanlah dendam untuk membalas, tetapi dendam kerana sukar melupakan. Dari situlah datangnya tekanan perasaan, akhirnya membuatkan tekanan darah naik.

Kenapa wanita Melayu begitu? Disebabkan sosio budaya serta latar kehidupan orang Melayu yang selalunya amat ‘seronok’ dengan kisah-kisah berkaitan. Lihat sahaja akhbar Melayu terutama jenis tabloid, biasanya berita muka hadapan adalah kisah-kisah remeh manusia tetapi mempunyai nilai jualan tinggi apabila dimanipulasi.

Kalau muka hadapannya ada kisah ustazah ditangkap sedang berasmara dengan pengawal keselamatan di pondok mengawal sekolah agama, tidak usah cakap lagi. Kadang-kadang tak payah sedahsyat itu, kisah menantu dengan mentua yang tidak sehaluan pun boleh menjadi berita utama, sedangkan mentua dengan menantu itu bukanlah orang terkenal pun.

Sebab itulah kebanyakan wanita Melayu takut. Mereka takut hal demikian terjadi kepada mereka. Perbuatan memendam rasa ini hujungnya akan berkaitan dengan jiwa dan mental.

Didapati 5.8 juta orang di negara ini mempunyai hipertensi tetapi malangnya, hanya 2.2 juta pesakit mengambil inisiatif mendapatkan rawatan dan ubat bagi mengawalnya.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), yang dipaparkan dalam akhbar tempatan, sebanyak 48.4% wanita Melayu menghidap penyakit ini disebabkan gaya hidup, pemakanan serta kurang bersenam.

Luahkan Pada Yang Layak

Salah satu kaedah rawatan yang mudah ialah meluahkan. Tetapi tidak ramai sanggup meluahkan apa yang selamanya terpendam dalam hati. Selalu saya mendapat e-mel dengan kata-kata, “Saya tidak pernah bercerita dengan sesiapa pun selama ini. Yang pertama mendengarnya ialah Dr.”

Itu bermakna mereka hidup dengan membawa sebeban masalah dalam kepala. Kepala menjadi berat oleh persoalan yang berperang di dalam. Ia boleh dikeluarkan dan letakkanlah pada orang yang layak mendengar, kemudian lupakan saja. Dengan itu kehidupan akan menjadi lebih ringan kerana beban menanggung persoalan sudah tiada lagi.

Sebagaimana orang hilang ingatan boleh dipulihkan apabila sejarah hidupnya dibacakan di hadapannya berulang kali, demikianlah keserabutan boleh dihilangkan dengan mencurahkan pula masalah-masalah itu kepada pihak lain.

Anehnya, semakin ramai kaunselor dan ustaz dilahirkan semakin ramai orang mengalami masalah jiwa dan mental. Terkadang bukan salah kaunselor atau ustaz berkenaan, orang yang bermasalah itu sendiri tidak membenarkan masalahnya dikongsi.

Apa pun yang terbaik, mengadulah kepada Allah S.W.T sebelum mendatangi manusia kerana Allah itu Maha Mendengar dan Dia lebih berkuasa meletakkan rasa bahagia pada sesiapa sahaja berbanding manusia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...