KUALA LUMPUR - Teknologi Hijau merujuk kepada pembangunan, aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.
Pengurus Besar Kanan di Sektor Pembangunan Teknologi dan Inovasi, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Ir. Elias Ismail berkata, pembangunan menggunakan konsep teknologi hijau adalah seiring dengan Polisi Teknologi Hijau Kebangsaan.
“Polisi ini mensasarkan untuk mencapai pengurangan pengeluaran karbon sejumlah 40 peratus menjelang tahun 2020. Sehubungan itu, CIDB telah mengambil cabaran untuk membangunkan satu standard yang mengambilkira impak projek pembinaan terhadap alam sekitar, dan salah satu fokusnya adalah untuk mengukur kadar pengeluaran karbon,” katanya.
Elias berkata, standard pengukuran bangunan hijau tersebut adalah untuk menganalisa ‘hasil akhir’ sesebuah bangunan, di mana hasil tersebut akan dibandingkan dengan bangunan lain dalam aspek kecekapan tenaga.
“Hasil yang diukur tersebut akan menentukan kesan kepada alam sekitar, sama ada ia memberi impak yang banyak atau kurang. Semua proses termasuk struktur bangunan adalah diambil kira dalam penilaian ini,” jelasnya.
Seminar Kepentingan Pengukuran Bangunan Hijau yang berlangsung di sini hari ini mendapat respon menggalakkan daripada lebih 60 peserta yang hadir.
Konsultan Projek, Rosli Ghani berkata, seminar ini membuka ‘mata’nya mengenai aspek teknologi hijau yang sepatutnya diterapkan dalam setiap projek pembangunan di negara ini.
“Konsep teknologi hijau bukan sahaja mesra alam, tetapi ia juga mengurangkan perbelanjaan kos projek yang dikeluarkan pemaju untuk jangka masa panjang. Ini kerana, dengan menggunakan pendekatan teknologi ini, kos penggunaan sumber dan tenaga lebih menjimatkan berbanding projek pembangunan yang dibina tanpa aspek teknologi hijau ini,” katanya.
Info Teknologi Hijau
Teknologi Hijau juga merujuk kepada produk, peralatan, atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria berikut:
- Ia meminimumkan degrasi kualiti persekitaran; ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar; ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan;
- Menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan
- Menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.
Kemajuan yang signifikan dan peningkatan utama dalam empat sektor utama yang berikut:
i) Sektor Tenaga
• Sektor Bekalan Tenaga: Aplikasi Teknologi Hijau dalam penjanaan tenaga dan pengurusan bekalan tenaga, termasuk penjanaan bersama (co-generation) di sektor industri dan komersial; dan
• Sektor Penggunaan Tenaga Aplikasi Teknologi Hijau dalam semua sektor penggunaan tenaga dan dalam program pengurusan permintaan tenaga.
ii) Sektor Bangunan:
Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pembinaan, pengurusan, pemuliharaan dan pemusnahan bangunan
iii) Sektor Air dan Pengurusan Sisa
• Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pengurusan dan penggunaan sumber air, rawatan kumbahan, sisa pepejal dan kawasan pelupusan sampah; dan
• Memasukkan elemen Teknologi Hijau dalam prasarana pengangkutan dan kenderaan, khususnya biobahan api dan pengangkutan jalan awam.
sumber: Jabatan Penerangan Malaysia, CIBD
No comments:
Post a Comment