Followers

Sunday, November 20, 2011

PERAKUAN SIAP DAN PEMATUHAN (CCC)

Kerajaan telah bersetuju memperkenalkan sistem pengeluaran CCC yang dikeluarkan oleh para Profesional sebagai menggantikan pengeluaran CFO yang dahulunya oleh PBT. Pengenalan sistem perakuan baru ini dibuat setelah mengambilkira kelebihan dan kebaikannya berasaskan kajian menyeluruh yang dijalankan oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama dengan pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau yang mempunyai kepentingan dalam industri pembinaan.

Keadah pengeluaran CCC oleh para professional adalah satu usaha kea rah pendekatan self-regulation dan self-certification, iaitu, konsisten dengan hasrat Kerajaan seperti yang terkandung dalam langkah 70 (d) Strategi Baru Merangsang Pertumbuhan Ekonomi Negara. Ia bertujuan mempertingkatkan lagi kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan pemajuan projek menerusi usaha-usaha mengurangkan karenah birokrasi. Pengenalan CCC akan menyumbang kepada pengurangan kos menjalankan perniagaan di negara ini di samoing memudahkan para pelabur berurusan denga pihak Kerajaan.

Sistem CCC bukan satu konsep baru. Ia merupakan peluasan sistem yang telahpun digunapakai bagi rumah berasingan yang dibina secara tunggal kepada lain-lain ketegori bangunan. Pindaan UKBS pada tahun 1999 telah membolehkan rumah berasingan seperti banglo dikecualikan daripada memohon CFO dan bagi Arkitek Profesional atau Pelukis Pelan Berdaftar mengeluarkan CCC selaku Orang Yang Mengemukakan (OMP). Sistem berkenaan telah dilaksanakan tanpa masalah sejak diperkenalkan dan kini dalam sistem CCC pemakaiannya diperluaskan kepada lain-lain kategori bangunan.

Dari sudut akauntabiliti terhadap keselamatan dan keselesaan bangunan, pengambilalihan tugas mengeluarkan sijil perakuan ini oleh para professional lebih merupakan satu formality. Ini adalah kerana di bawah sistem pengeluaran CFO, para professional sememangnya diwajibkan memberi pengesahan terhadap isu keselamatan dan kelayakan menduduki bangunan. Selain itu, pemberian tanggungjawab mengeluarkan sijil perakuan bangunan oleh para profesional juga dianggap satu langkah wajar. Ini adalah memandangkan mereka merupakan pihak yang paling memahami pemajuan sesuatu projek kerana terlibat secara langsung dalam keseluruhan fasa pembangunannya; iaitu, dari peringkat kerja-kerja persiapan memulakannya hingga ke peringkat-peringkat pembinaan dan penyiapan projek.

Satu ciri penambahbaikan kepada sistem CCC ialah notis milikan kosong (notice of vacant possession – VP) boleh dikeluarkan bersekali dengan CCC yang kini berada dalam kawalan para professional. Faktor ini akan menyumbang kepada penyelesaian masalah yang sering berlaku di bawah sistem pengeluaran CFO di mana pembeli rumah memperolehi kunci rumah tetapi tidak boleh mendudukinya kerana CFO belum dikeluarkan lagi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...