Followers

Sunday, November 20, 2011

SIJIL KELAYAKAN MENDUDUKI (CFO)

Sijil Kelayakan Menduduki atau CFO merupakan satu dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengesahkan sesuatu bangunan telah siap dibina selamat dan selesa untuk didiami. Mengikut Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1994 (UKBS), tiada seorang pun boleh menduduki atau membenarkan menduduki mana-mana bahagian bangunan melainkan CFO atau Sijil Kelayakan Menduduki Sementara (TCFO) telah dikeluarkan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133). Sekiranya tidak mematuhi kepada Akta ini boleh menyebabkan orang berkenaan didakwa.

CFO boleh dikeluarkan setelah syarat-syarat yang ditetapkan dalam Undang-Undang Kecil 25 UKBS 1984 dipatuhi. CFO akan dikeluarkan setelah :

  • Orang yang mengemukakan pelan seperti arkitek telah memperakui dalam borang permohonan iaitu Borang E secara bertulis mereka telah mengawasi pembinaan bangunan itu dan sepanjang pengetahuan dan kepercayaan mereka bangunan tersebut dibina mematuhi UKBS dan bersetuju menerima tanggungjawab sepenuhnya mengenai bahagian-bahagian yang berkaitan dengan mereka.
  • Pegawai PBT telah memeriksa bangunan berkenaan
  • Syarat-syarat yang ditetapkan oleh PBT semasa kelulusan pelan bangunan bagi keperluan asas seperti jalan akses, landskap, tempat letak kereta, parit, air dan elektrik, lif, pili bomba, pembetungan dan pembuangan sampah dan lain-lain disediakan. Lazimnya, keperluan asas ini diakui oleh agensi teknikal berkenaan seperti Jabatan Bekalan Air (JBA), Tenaga Nasional (PNB), Jabatan Pembetungan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lain-lain. Syarat lain seperti pembayaran sumbangan bagi infrastruktur, hal tanah seperti kelulusan pelan bangunan juga perlu dipatuhi.

Dengan lain perkataan, permohonan kelulusan CFO hanya boleh dikemukakan oleh orang yang mengemukakan pelan seperti arkitek (pemaju) yang mengesahkan dalam Borang E bahawa ia telah mengawasi pembinaan penyiapan bangunan berkenaan.

PBT hanya akan meluluskan pengeluaran CFO apabila segala syarat-syarat yang ditetapkan dipatuhi. Ini adalah untuk memastikan bangunan tersebut selamat didiami oleh pembeli.

Pindaan kepada UKBS 1984 telah buat pada tahun 1999 bagi membolehkan;
  • Banglo yang dibina berasingan tidak perlu memohon CFO tetapi arkitek atau pelukis pelan berdaftar perlu mengeluarkan Sijil Pengakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance).
Bagi bangunan lain, CFO dianggap telah dikeluarkan walaupun PBT berkaitan masih belum mengeluarkannya dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan permohonan CFO (borang E) yang lengkap diterima.

Pembeli-pembeli rumah yang ingin membuat pengubahsuaian atau menambah bangunan kediaman hanya dibolehkan setelah CFO dikeluarkan oleh PBT. Walau bagaimanapun, tuan rumah perlu memohon kebenaran daripada PBT terlebih dahulu.

Pemaju adalah bertanggungjawab ke atas bangunan dalam tempoh selama 18 bulan dari tarikh pengeluaran pemilikan kosong bangunan atau disebut serah kunci. Sekiranya berlaku kecacatan bangunan seperti kebocoran bumbung, kebocoran paip air dan sebagainya dalam tempoh tersebut ia merupakan tanggungjawab pemaju.

Kegagalan struktur seperti keretakan tiang, rasuk, lantai atau mendapan bangunan merupakan tanggungjawab jurutera perunding bagi sepanjang umur bangunan berkenaan. Pemilik rumah yang menghadapi masalah ini hendaklah melaporkan kepada PBT berkenaan berserta dengan butiran dan gambar bagi memudahkan kerja penyiasatan. Di bawah, UKBS Undang-Undang Kecil 258, PBT boleh menyuruh jurutera perunding asal yang mengemukakan pelan berkenaan membuat laporan untuk menjelaskan punca kegagalan dalam tempoh yang ditetapkan oleh PBT. Jurutera perunding yang gagal mematuhi atau tidak memberi kerjasama, pihak PBT atau pemilik bangunan boleh membuat laporan kepada Lembaga Jurutera Perunding bagi tindakan selanjutnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...