Followers

Saturday, January 24, 2009

HUBUNGAN ETNIK

Isu hubungan etnik merupakan satu isu yang boleh memantapkan keamanan dan perpaduan dalam masyarakat malaysia.

"Kami ciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berkabilah untuk berkenal-kenalan di antara satu sama lain" (Surah al-Hujurat).

Agama tidak sama sekali menghalang hubungan baik di antara etnik dan agama. Malah Islam mengiktiraf akan kepelbagaian dalam beragama, kepelbagaian bangsa, warna kulit dan bahasa malah adat resam yang berbeza. Tetapi masa kini masih ada di antara masyarakat yang suka membuat tanggapan sendiri terhadap status dan tahap perhubungan antara etnik yang di buat melalui pemerhatian kasar dan analisa sendiri oleh ahli masyarakat. Ini mungkin kerana kurangnya pendedahan dan semangat ingin mendalami sesuatu perkara di kalangan masyarakat. Sebilangan masyarakat menganggap kerjasama, hubungan antara etnik dan perkongsian pemikiran tidak perlu wujud di antara mereka. Walaupun masyarakat ini tinggal di tanah, komuniti dan negara yang sama, tetapi kerana sikap ini, mereka mengabaikan kepentingan hubungan ini. Walhal adanya hubungan yang baik antara etnik, dalam perkongsian ilmu, permuafakatan memberikan banyak kebaikan dan kemajuan bukan sahaja dalam diri sendiri tetapi juga dalam negara yang tercinta.

Golongan sarjana dan politik memainkan peranan penting melahirkan pemikiran dalam masyarakat yang peka dan sensitif dalam dimensi masyarakat. Jika masalah ini tidak di tangani dengan segera, ia mungkin boleh mendatangkan kesan negatif terutama terhadap pemikiran anak muda zaman ini. Menerusi artikel yang ditulis oleh PROF Madya Kamarulzaman Askandar dari Unit Penyelidikan dan pendidikan untuk Perdamaian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, menjelaskan bahawa banyak insiden konflik sosial yang berlaku melibatkan pihak dari kumpulan etnik yang berbeza tetapi jika ia tidak di tangani dengan baik, ia boleh meningkat menjadi konflik etnik.
Namun begitu, pelbagai usaha perlu di jalankan terutamanya di peringkat institusi pendidikan. Fokus utama boleh diberikan kepada aspek pembelajaran dan pemahaman budaya yang berbeza agar timbul apresiasi di kalangan mahasiswa terhadap budaya-budaya tersebut. Fokus ini di berikan kepada golongan mahasiswa di institusi pengajian tinggi adalah satu langkah yang bijak kerana ia dapat mendedahkan golongan ini kepada konsep-konsep hubungan etnik, dan juga mereka di beri peluang untuk melakukan aktiviti bersama yang mana mereka dapat menambah ilmu tentang isu yang difokuskan dan dapat menggalakkan interaksi antara mereka. Contohnya , di samping mengikuti kuliah tentang hubungan etnik di negara ini, mahasiswa di institusi pengajian tinggi di letakkan dalam satu-satu kumpulan kecil untuk melakukan tugasan, latihan luar bagi mendalami dan mengkaji isu-isu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat di Malaysia yang mana ia melibatkan kepelbagaian etnik dari segi budaya, ada resam, cara hidup dan sebagainya.
Fokus seterusnya yang boleh dilakukan adalah dengan mendedahkan mahasiswa kepada aktiviti-aktiviti yang melibatkan kebudayaan pelbagai kaum yang merupakan sebagai satu langkah memperkenalkan etnik masing-masing serta dapat mewujudkan perasaan kekitaan beridentitikan warganegara dan bangsa Malaysia. Melalui usaha-usaha ini para mahasiswa dapat mengetahui, mengenali etnik-etnik yang ada dan secara tidak langsung dapat menarik minat mahasiswa untuk mendalami budaya-budaya yang ada di sekeliling mereka. Budaya di kaitkan dengan aktiviti-aktiviti yang ada dalam persekitaran manusia seperti kesenian, barangan, makanan, tarian dan sebagainya.
Secara sedar atau tidak, dengan memperkenalkan subjek bahasa asing yang wajib di ambil oleh setiap mahasiswa merupakan langkah bijak menanamkan minat kepada mahasiswa terutamanya untuk mengenali etnik lain. Latihan-latihan yang di brikan juga perlukan melibatkan pelbagai etnik dalam satu-satu kumpulan.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mensasarkan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat harus dilihat juga signifikannya dari sudut hubungan etnik. Pencapaian DEB yang diharapkan iaitu 30 peratus pemilikan Bumiputera dalam semua bidang dan peringkat ekonomi akan memobilasikan Bumiputera untuk bergerak maju dan berdaya saing seiring dengan bukan Bumiputera. Status sosial dan pendapatan Bumiputera adalah diharapkan akan setara dengan bukan Bumiputera. Objektif penyusunan semula masyarakat ini boleh menyumbang kepada pengukuhan hubungan etnik akan dapat direalisasikan. Semangat kerjasama, daya saing dan ingin maju dapat mengeratkan hubungan di antara etnik-etnik tertentu.

PERPADUAN NEGARA

Perpaduan Negara adalah amat penting kerana masyarakat yang bersatu padu merupakan teras kepada kestabilan sosio-politik dan pembangunan berterusan. Perpaduan merupakan suatu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terdapat tiga elemen penting dalam menjamin perpaduan dan kemajuan yang berkekalan rakyat Malaysia iaitu keadilan, tanggungjawab dan rasa percaya pada diri sendiri.
Menurut PROF Madya Kamarulzaman Askandar lagi dalam artikelnya, Perpaduan adalah satu keadaan di mana masyarakat yang berbilang etnik dapat hidup dalam satu masyarakat sebagai sebuah komuniti masyarakat Malaysia. Perbezaan yang jelas dan tidak jelas masih tetap wujud dalam komuniti kerana setiap kumpulan membawa keistimewaan mereka yang tersendiri, dengan cir-ciri agama, bahasa ibunda, makanan, pakaian, budaya dan adat resam yang telah dipengaruhi oleh sejarah perkembangan kumpulan mereka. Dalam proses menerapkan perpaduan di kalangan masyarakat, mungkin akan terdapat masalah-masalah yang mungkin berlaku seperti pemberontakan, pergaduhan, peperangan dan keganasan. Ini terjadi apabila kelompok masyarakat tertentu ingin mempertahankan kepentingan mereka dan menyatakan yang kelompok mereka adalah betul.

Namun begitu, perlunya pelbagai usaha berterusan di lakukan bagi memantapkan lagi semangat perpaduan di kalangan masyarakat malaysia. Usaha-usaha secara sedar atau tidak perlu di serapkan dalam diri masyarakat ini. Dari Utusan Malaysia bertarikh 25 Okt 2008,oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Hari Raya Aidilfitri 2008 di Padang Sungai Isap Perdana; ”Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, kita mungkin berbeza daripada segi agama dan budaya, namun kita juga ada nilai-nilai yang sama bagi semua kaum. Jadi nilai bersama itulah yang perlu kita lihat bukan sahaja untuk kukuhkan perpaduan antara kaum, malah untuk pembentukan bangsa Malaysia,”
Terdapat beberapa usaha telah di lakukan oleh kerajaan dalam memastikan rakyatnya berada dalam aman dan damai. Antara usaha-usaha telah di lakukan adalah dengan memperkenalkan Rukun Tetangga. Rukun Tetangga merupakan satu program sukarela yang bertujuan untuk membantu dalam pembangunan masyarakat setempat di Malaysia. Anggota kumpulan rondaan biasanya akan dianggotai oleh ahli-ahli masyarakat di kawasan tersebut. Selain itu, mereka digalakkan untuk menganjurkan seberapa banyak kegiatan berbentuk kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan selain program meningkatkan perpaduan dan integrasi kaum.

Selain itu, penglibatan masyarakat tempatan dalam projek pembangunan komuniti juga memainkan peranan penting. Aspek penting dalam pembangunan komuniti ini adalah penglibatan anggota komuniti dalam projek-projek pembangunan yang di lancarkan. Penglibatan komuniti juga dapat mewujudkan komuniti-komuniti yang percaya kepada kebolehan diri sendiri dan melahirkan sikap kerjasama antara ahli masyarakat dalam konteks yang lebih luas. Bentuk-bentuk penglibatan yang disarankan adalah seperti penglibatan dalam membuat keputusan, perlaksanaan program, berkongsi manfaat dan penglibatan dalam penilaian program. Dengan ini, setiap komuniti dalam sesebuah masyarakat yang berbilang kaum mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk nmemainkan peranan masing-masing.

Menanamkan sikap tidak mementingkan diri sendiri, memahami antara satu sama lain serta menanamkan sikap bekerjasama diantara masyarakat tidak mengira kaum, status dan keturunan juga menjadi faktor utama dalam menanamkan sikap cintakan perpaduan dan keamanan negara. Sebagai rakyat yang prihatin, tidak seharusnya kita menyandarkan tanggungjawab mengekalkan perpaduan kepada kerajaan semata-mata. Ia sebenarnya terletak di atas bahu kita sendiri di mana kita merupakan penggerak kepada terlaksananya dan terbinanya semangat perpaduan ini. Maka, kerajaan dan rakyat perlulah berkerjasama dalam mengekalkan dan mengukuhkan perpaduan di negara ini dengan tidak mengira kaum dan perbezaan tertentu. Perlu juga di perkenalkan satu kelab perpaduan di Institusi Pengajian Tinggi bagi memastikan semangat perpaduan dapat di terapkan di kalangan mahasiswa negara. Penyertaan boleh di tawarkan kepada semua mahasiswa tidak mengira kaum. Secara tidak langsung ia dapat merapatkan hubungan etnik di antara kaum terutama di kalangan ahli yang mungkin boleh menjadi contoh dan ikutan pada mahasiswa lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...