Followers

Saturday, January 24, 2009

PERPADUAN NEGARA

Perpaduan Negara adalah amat penting kerana masyarakat yang bersatu padu merupakan teras kepada kestabilan sosio-politik dan pembangunan berterusan. Perpaduan merupakan suatu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terdapat tiga elemen penting dalam menjamin perpaduan dan kemajuan yang berkekalan rakyat Malaysia iaitu keadilan, tanggungjawab dan rasa percaya pada diri sendiri.
Menurut PROF Madya Kamarulzaman Askandar lagi dalam artikelnya, Perpaduan adalah satu keadaan di mana masyarakat yang berbilang etnik dapat hidup dalam satu masyarakat sebagai sebuah komuniti masyarakat Malaysia. Perbezaan yang jelas dan tidak jelas masih tetap wujud dalam komuniti kerana setiap kumpulan membawa keistimewaan mereka yang tersendiri, dengan cir-ciri agama, bahasa ibunda, makanan, pakaian, budaya dan adat resam yang telah dipengaruhi oleh sejarah perkembangan kumpulan mereka. Dalam proses menerapkan perpaduan di kalangan masyarakat, mungkin akan terdapat masalah-masalah yang mungkin berlaku seperti pemberontakan, pergaduhan, peperangan dan keganasan. Ini terjadi apabila kelompok masyarakat tertentu ingin mempertahankan kepentingan mereka dan menyatakan yang kelompok mereka adalah betul.

Namun begitu, perlunya pelbagai usaha berterusan di lakukan bagi memantapkan lagi semangat perpaduan di kalangan masyarakat malaysia. Usaha-usaha secara sedar atau tidak perlu di serapkan dalam diri masyarakat ini. Dari Utusan Malaysia bertarikh 25 Okt 2008,oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Hari Raya Aidilfitri 2008 di Padang Sungai Isap Perdana; ”Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, kita mungkin berbeza daripada segi agama dan budaya, namun kita juga ada nilai-nilai yang sama bagi semua kaum. Jadi nilai bersama itulah yang perlu kita lihat bukan sahaja untuk kukuhkan perpaduan antara kaum, malah untuk pembentukan bangsa Malaysia,”
Terdapat beberapa usaha telah di lakukan oleh kerajaan dalam memastikan rakyatnya berada dalam aman dan damai. Antara usaha-usaha telah di lakukan adalah dengan memperkenalkan Rukun Tetangga. Rukun Tetangga merupakan satu program sukarela yang bertujuan untuk membantu dalam pembangunan masyarakat setempat di Malaysia. Anggota kumpulan rondaan biasanya akan dianggotai oleh ahli-ahli masyarakat di kawasan tersebut. Selain itu, mereka digalakkan untuk menganjurkan seberapa banyak kegiatan berbentuk kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan selain program meningkatkan perpaduan dan integrasi kaum.

Selain itu, penglibatan masyarakat tempatan dalam projek pembangunan komuniti juga memainkan peranan penting. Aspek penting dalam pembangunan komuniti ini adalah penglibatan anggota komuniti dalam projek-projek pembangunan yang di lancarkan. Penglibatan komuniti juga dapat mewujudkan komuniti-komuniti yang percaya kepada kebolehan diri sendiri dan melahirkan sikap kerjasama antara ahli masyarakat dalam konteks yang lebih luas. Bentuk-bentuk penglibatan yang disarankan adalah seperti penglibatan dalam membuat keputusan, perlaksanaan program, berkongsi manfaat dan penglibatan dalam penilaian program. Dengan ini, setiap komuniti dalam sesebuah masyarakat yang berbilang kaum mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk nmemainkan peranan masing-masing.

Menanamkan sikap tidak mementingkan diri sendiri, memahami antara satu sama lain serta menanamkan sikap bekerjasama diantara masyarakat tidak mengira kaum, status dan keturunan juga menjadi faktor utama dalam menanamkan sikap cintakan perpaduan dan keamanan negara. Sebagai rakyat yang prihatin, tidak seharusnya kita menyandarkan tanggungjawab mengekalkan perpaduan kepada kerajaan semata-mata. Ia sebenarnya terletak di atas bahu kita sendiri di mana kita merupakan penggerak kepada terlaksananya dan terbinanya semangat perpaduan ini. Maka, kerajaan dan rakyat perlulah berkerjasama dalam mengekalkan dan mengukuhkan perpaduan di negara ini dengan tidak mengira kaum dan perbezaan tertentu. Perlu juga di perkenalkan satu kelab perpaduan di Institusi Pengajian Tinggi bagi memastikan semangat perpaduan dapat di terapkan di kalangan mahasiswa negara. Penyertaan boleh di tawarkan kepada semua mahasiswa tidak mengira kaum. Secara tidak langsung ia dapat merapatkan hubungan etnik di antara kaum terutama di kalangan ahli yang mungkin boleh menjadi contoh dan ikutan pada mahasiswa lain.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...