Followers

Sunday, August 12, 2012

97 IPT sah sertai Sukipt

SEBANYAK 97 institusi pengajian tinggi (IPT) mengesahkan penyertaan pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Sukipt) yang berlangsung dari 28 Oktober hingga 8 November ini.
Penyelaras Media Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Nur Ekmal Buhary berkata, temasya dwitahunan yang julung kali dianjurkan kementerian itu akan berlangsung di 16 venue, membabitkan IPT sekitar Lembah Klang dan Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang.
“Penganjuran Sukipt bertujuan mencari pemain berbakat dalam jumlah besar untuk mewakili negara dalam kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) di Laos, Disember ini dan Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Kazan, Russia pada 2013.
“Penganjuran Sukipt selaras dengan penubuhan Dasar Pembangunan Sukan IPT 2009. Sasaran kita adalah lebih 100 penyertaan bagi tahun ini. Tarikh tutup penyertaan akhir September,” katanya.
Sebanyak 20 IPT awam (IPTA), 40 IPT swasta, 27 politeknik dan 10 kolej komuniti mengesahkan penyertaan dalam kejohanan tu.
Antara IPT terbabit ialah Universiti Teknologi Mara, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak, Kolej Antarabangsa KBU dan Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur.
“Acara sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukipt adalah mengikut standard acara temasya sukan AUG dan sukan Universiade,” katanya.
Sebanyak 15 acara, olahraga, renang, tenpin bowling, badminton, bola tampar dewan dan pantai, ragbi 7 sebelah, bola jaring, tenis, memanah, taekwondo, karatedo, catur, sepak takraw dan menembak akan dipertandingkan. Sukipt dijangka membabitkan penyertaan 15,000 atlet, pegawai dan sukarelawan.

Artikel ini disiarkan pada : 13/08/2012

Sumber : Harian Metro


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...